Thursday, 11 October 2012

Kaedah Membaca (Kaedah Abjad)

Kaedah Membaca (Kaedah Abjad)

Kaedah Abjad


Menurut Azman Wan Chik (1993), kaedah abjad dianggap sebagai kaedah nama-nama huruf yang digunakan di dalam tulisan Melayu, iaitu huruf a hingga z. Kaedah ini merupakan kaedah yang paling biasa digunakan dalam mengajar mengeja dan membaca perkataan. Murid-murid diajar menghafal nama-nama huruf secara mengikut turutan bermula dari a hingga z. Kemudian kanak-kanak diajar mengenali huruf-huruf vokal a, e, i, o, u, huruf-huruf konsonan, dan diftong ai, au, oi.  Selepas itu, huruf-huruf ini digabungkan bagi membentuk suku kata dan seterusnya perkataan.
Contoh:   Memperkenalkan huruf a - z
1.                    Memperkenalkan huruf vokal a, e, i, o, u
2.                    Menggabungkan huruf konsonan dan vokal  -  ba, be, bi, bo,  bu
3.                    Membentuk perkataan daripada suku kata -  ba + ju           baju
4.                    Membina rangkai kata – baju biru
5.                    Membina ayat mudah – Ini baju biru Abu
Kekuatan kaedah ini adalah kerana sesuai dengan binaan perkataan bahasa Melayu yang terdiri daripada suku kata yang tetap bunyinya.  Kaedah ini juga membolehkan kanak-kanak mengeja perkataan-perkataan baharu yang belum dipelajarinya.  Selain itu, kaedah ini memberi asas yang kukuh dalam kemahiran membaca.
Teknik pengajaran boleh juga dimulakan dengan guru menunjukkan kad abjad kepada murid dan guru menyebut terlebih dahulu abjad-abjad tersebut untuk memperkenalkannya kepada murid. Kemudian, sekali lagi guru menunjukkan kad-kad abjad tersebut dan meminta murid untuk mengenal pasti dan menyebut abjad-abjad yang ditunjukkan dengan bantuan guru.
Guru membetulkan setiap kesilapan sebutan murid sewaktu kad-kad abjad ditunjukkan. Proses ini diulang sehingga murid mampu mengenal pasti dan menulis abjad-abjad yang telah diajar. Seterusnya, guru melekatkan kad-kad abjad tersebut di papan hitam. Guru akan memilih murid secara rawak dan meminta murid tersebut mengambil kad pada papan tulis berdasarkan apa yang disebut oleh guru. Selepas itu, murid diminta membuat latihan bertulis dalam buku masing-masing. Guru akan menyebut abjad manakala murid perlu mendengar dengan teliti dan menulisnya dalam buku.

No comments: